Sabtu, 23 Januari 2010

Pusat Tuntung Bota pikat pelancong



KEUNIKAN dan keindahan panorama tuntung bertelur di tebing Sungai Perak boleh dikomersialkan sebagai satu lagi produk pelancongan Perak yang mampu menarik lebih ramai pelancong berkunjung ke negeri ini.

Tuntung sebagai reptilia air tawar banyak singgah di tebing Sungai Perak untuk bertelur dan senario sama boleh didapati di Terengganu dan Kedah sebelum ini.

Bagaimanapun, spesies berkenaan didapati semakin berkurangan dan langkah segera perlu diambil bagi mengatasi masalah kepupusan binatang berkenaan.

Hampir setiap tahun, kawasan tebing Sungai Perak iaitu di antara Bota Kanan dan Layang-Layang menjadi lokasi utama pelancong terutama pencinta haiwan bagi menyaksikan tuntung bertelur.



Sehubungan itu, bagi memastikan spesies berkenaan kekal, Kompleks Pemeliharaan dan Penetasan Tuntung di Bota Kanan, bertindak memulihara ekosistem binatang berkenaan.

Kompleks berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan dalam usaha memelihara spesies berkenaan seperti kolam pemeliharaan ibu tuntung, pusat penetasan serta bilik pameran.

Selain berupaya menjadi aset pelancongan popular, kompleks berkenaan penting terutama bagi generasi muda mengenali dan menjalankan kajian mengenai tuntung.

Pengarah Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Perak, Jasmi Abdul ketika ditemui berkata, tuntung sama seperti reptilia lain mempunyai kulit bersisik, bertelur dan mempunyai suhu badan yang berubah mengikut suhu sekeliling.

Beliau berkata, tuntung yang dipelihara di pusat pembiakan itu adalah dari jenis tuntung sungai atau nama saitifiknya `Batagur Baska'.

Katanya, haiwan itu mudah dikenali menerusi dua keping cengkerang berpetak di permukaan atas badannya.


Cengkerang pada bahagian atas badan atau nama saintifiknya Carapac mempunyai 38 petak kecil manakala 10 petak kecil di bahagian bawah dinamakan Plastrom.

Cengkerang berkenaan bertujuan melindungi tuntung daripada dimakan musuh.

Jasmi berkata, apa yang pelik mengenai tuntung ialah haiwan berkenaan akan mati lemas jika gagal timbul ke permukaan air selepas menyelam kerana kegagalan untuk bernafas.

"Tuntung jantan dewasa mempunyai tanda putih di mata, mulut bermuncung, berekor panjang serta mempunyai cengkerang gelap.

"Kebiasaannya, tuntung berukuran 50 sentimeter panjang dan 40 sentimeter lebar dengan berat antara 18 hingga 22 kilogram setiap seekor," katanya.

Beliau berkata, bagi tuntung betina pula matanya tidak mempunyai garisan hitam seakan celak tetapi mempunyai retina yang lebih cerah, bermuncung lonjong atau dumpuk (tumpul), berekor lebih besar dan padat sementara bercengkerang kelabu kehijauan.

Selain itu, tuntung betina bersaiz lebih besar berbanding tuntung jantan dengan panjang mencapai 55 hingga 60 sentimeter dan mempunyai lebar antara 51 hingga 54 sentimeter serta berat antara 22 hingga 30 kilogram.

Telur tuntung yang dikesan akan dipindahkan ke tapak penetasan dengan kadar segera bagi memastikan selaput lendir yang menyelaputi telur tuntung tidak hilang.

"Lendir yang melekat pada telur tuntung berperanan melindungi telur daripada serangan penyakit," katanya.

Beliau berkata, pembiakan tuntung di Perak tertumpu sekitar Sungai Perak kerana kawasan terbabit adalah pertemuan air tawar dari Sungai Perak dan air masin dari Teluk Intan terutama di kawasan Kampung Air mati dan Teluk Bakong berhampiran Bota Kanan.

Tuntung dewasa matang ketika berusia 10 hingga 12 tahun dan jangka hayatnya boleh mencecah sehingga 100 tahun.

"Pada awal musim pembiakan, kebanyakan tuntung mengawan di kawasan berhampiran pantai tempat bertelur. Seekor tuntung betina boleh bertelur antara satu hingga dua kali sepanjang musim.

"Bilangan telur dalam satu sarang pula antara 30 hingga 37 biji, jumlah itu akan berkurangan pada kali kedua iaitu antara 15 hingga 20 biji dan kebiasaannya melebihi sebiji," katanya.

Musim bertelur bagi tuntung ialah dari bulan November hingga Februari di kawasan pantai yang berketinggian melebihi dua meter dari paras air sungai berpasir.

Tuntung akan menggali lubang sedalam antara 50 hingga 70 sentimeter dan berkeluasan 15 sentimeter lebar menggunakan kaki bahagian depan untuk bertelur.

Telur kemudiannya ditimbus menggunakan jari dan ekor. Proses penetasan berlaku dengan suhu pasir dan kepanasan matahari.

Jasmi berkata, melalui kaedah semula jadi telur yang dikutip akan dimasukkan ke tempat penetasan dan dibiarkan terdedah kepada panas dan hujan.

Sebaik saja menetas anak tuntung di pusat itu ia akan dimasukkan ke dalam bekas takungan kerana anak tuntung memerlukan pemerhatian lebih teliti.

Anak tuntung yang baru menetas mengalami pelbagai cabaran sebelum dewasa antaranya serangan penyakit yang disebabkan fungus yang sering menyerang mata, mulut dan bahagian belakang hingga boleh menyebabkan kecacatan tuntung.

Selain itu, katanya, pencemaran sungai juga menyebabkan habitat haiwan itu kini semakin terancam berikutan pembuangan sisa toksik dari kilang.

Seorang pelawat, Asilawati Hj Hussin, 34, berkata pusat berkenaan memberikan peluang kepada generasi muda untuk mendalami mengenai kehidupan reptilia itu.

Katanya, masyarakat perlu peka dan boleh membantu memelihara habitat haiwan berkenaan dengan bersama-sama menjaga kebersihan sungai bagi memastikan reptilia itu terus membiak.

Guru Sekolah Kebangsaan Perpaduan Ulu Kinta Ipoh, Rusuhaiza Sulaiman, 29, berkata tindakan tegas perlu dikenakan ke atas sesiapa yang didapati dengan sengaja memusnahkan habitat tuntung.

Oleh Mohd Idris Sulaiman

3 ulasan:

Maiyah berkata...

menarik.. x pernah tgk sbnrnya

23 Januari 2010 pada 11:38 PG
Ape2 je berkata...

arwah atok sedare teman dulu pun ade jgok bela tuntung ni..die amek kt sungai perak kt blkng ghumohnye tu..mengkeme keney dok dgn tok alang ?name beno nye alang ahmad bin ngah mantik..

7 September 2011 pada 10:22 PTG
Unknown berkata...

mmg mnarik pn.. bez sgt ..bpeluang bg depa mkn.. yg mnarik nye tuntung ni mkn pisang,, sawi, kangkung , ikan n ade ag kot yg len2 tu..sape2 yg x gi lg tu,,mai la pakat rmai2 pi tgk tntung nah =)

5 November 2013 pada 8:54 PG

Catat Ulasan

Muke Buku TOP

Sponser & Klik Iklan

Apa Kata Mike

Bertandang Umah TOP

Blog Teman-Teman

Lagu Kite


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com